SEJARAH PEMBUKAAN BANDAR BARU BANGI
Bandar Baru Bangi berasal daripada sebuah ladang kelapa sawit, West Country Estate yang berkeluasan 5,118 ekar dan mula dibangunkan pada tahun 1974 setelah proses pengambilan tanah dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan mulai tahun 1972-1978. Proses pengambilannya dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula dengan seksyen 1 yang melibatkan pembinaan rumah kos rendah, sederhana dan tinggi yang berjumlah 200 unit. Kerja-kerja membangunkan kawasan ini berakhir pada 2007, dengan pembinaan 11,040 unit kediaman, 308 unit kedai, 43 unit kilang dan sebuah kompleks pejabat.
Perancangan bandar satelit ini yang juga merupakan bandar kedua terbesar selepas Bandaraya Shah Alam, adalah berdasarkan perancangan bersepadu yang dijangka mampu meneruskan pembangunan yang bukan sahaja dapat menampung kediaman 60,000 orang penduduk, tetapi juga menyediakan aktiviti komersil, perindustrian, perniagaan, institusi latihan, rekreasi dan pendidikan. Ini adalah sesuai dengan saranan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri pada masa itu, untuk mengubah perspektif masyarakat, dan ekonomi Malaysia daripada Pertanian kepada Industri. Dengan itu, Ladang-ladang kelapa sawit dalam daerah Hulu Langat ini dipilih sebagai kawasan penempatan baru.
Berkonsepkan Bandar dalam taman, kawasan lapang seluas 82 ekar dilengkapi dengan sistem dua lengkongan jalan besar dan lorong-lorong jalan kaki dan berbasikal yang menyambungkan aktiviti-aktiviti di antara satu sektor dengan yang lain. Bandar Baru Bangi juga telah dibahagikan kepada 16 Seksyen.
Sebuah universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia telah dirancang pembinaannya untuk membentuk suatu institusi yang mendokong cita-cita dan aspirasi masyarakat Melayu, dan mengukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Universiti ini mempunyai misi untuk menghasilkan graduan-graduan bertaraf dunia daripada pendidikan berteraskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar selain menjadi pemangkin kepada pembangunan setempat - Bandar Baru Bangi.
LOKASI
Bandar Baru Bangi terletak di dalam daerah Hulu Langat dan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Bandar Baru Bangi terletak kira-kira 12 kilometer dari bandar Kajang dan 6 kilometer dari Bangi Lama. Sebenarnya istilah Bangi Lama tidak wujud secara rasmi, ia cuma untuk membezakan kedua-duanya.
ASAL NAMA
Versi 1 : 'Wangi' disebut 'Bangi' jika ibu bapa merujuk bau anak kecil mereka yang baru mandi.
Versi 2 : Nama Bangi berkaitan dengan bau iaitu 'Wangi' dalam telo Jawa. Bukit UKM pada peringkat awal penerokaannya ialah sebuah hutan tebal yang diduduki orang halus. Pada waktu senja, bau wangi akan mencucuk hidung dan semua wanita dan kanak-kanak akan masuk ke rumah kerana orang halus hadir berhampiran mereka. Ada yang percaya makhluk-makhluk ini telahpun dipindahkan ke kawasan lain oleh seorang pengamal perubatan islam di situ.
Versi 3: Asal perkataan Bangi ialah 'bangor' yang bermaksud bau busuk melantung dari ikan-ikan keli kering yang dijemur di tepian sawah padi. Sebelum Sungai Semenyih diluruskan sekitar tahun 1965, kawasan Bangi Lama pernah ditanam sikit-sikit dengan padi sawah.